Thursday, 15 October 2015

Permulaannya di sini...

Seperti yang saya janjikan... saya mulakan entry novel saya. semoga korang seronok membaca dan mengikutinya..

BAB 1
Deringan telefon bimbit yang begitu kuat telah mengejutkan Khalida. Lantas matanya segar semula. Terpisat-pisat dia, sambil menggosok-gosok matanya dengan jari, pantas tangannya meraba-raba di bawah bantal tidurannya. Sementara jari jemari Khalida meraba mencari di mana letak telefon bimbitnya itu, deringan tersebut terhenti. Tidak lama kemudian kedengaran nada lagi menandakan ada sistem pesanan ringkas yang masuk. Mujurlah bunyi itu tidak mengganggu anak kecil yang lena di sebelah. Pantas Khalida membuka untuk melihat isi kandungannya. Mata Khalida membulat. Bertambah segar apabila membaca mesej yang diterima tadi. Kedengaran keluhan kecil Khalida. Kemudian Khalida perlahan-lahan bangun dari pembaringannya. Khalida tidak mahu gerakannya nanti akan menyebabkan anak-anaknya yang telah lena itu akan terjaga semula. Kecoh nanti jika kedua anak itu bangun semula.
“Kau dah tidur ke?” soalan pertama yang datang dari telefon bimbit Khalida yang tiba-tiba berbunyi semula. Tanpa salam suara dari sebelah sana kedengaran semacam suara orang sedang menangis layaknya.
“Tadi terlena sekejap.. menidurkan si Rania ni.. aku pulak yang terlelap... Dengar bunyi telefon ni tadi dah segar semula aku..” Jawab Khalida dalam nada yang paling rendah.
Perlahan-lahan Khalida bergerak ke pintu untuk keluar dari bilik. Khalida ingin meneruskan perbualan dengan si pemanggil. Temannya yang bernama Irdina dihujung talian sana. Irdina lah si pemanggil dan si penghantar pesanan ringkas tadi. Irdina jugalah yang membuatkan Khalida mengeluh tadi usai membaca kiriman pesanan ringkas di telefon bimbitnya. Irdina yang mengejutkan lenanya tadi. Irdina adalah teman Khalida semasa sama-sama belajar sejak dari bangku sekolah menegah hinggalah ketika mereka sama-sama menyambung pelajaran ke menara gading. Masa sama-sama belajar dulu mereka memang rapat. Walaupun mengambil jurusan yang berbeza namun mereka tetap akrab. Kelangsungan persahabatan antara mereka jadi lebih akrab lagi apabila sama-sama di tugaskan di sekolah yang sama. Walau hanya berkesempatan tiga bulan sahaja Khalida mengajar di SMK Seri Pagi, persahabatan dengan Irdina menjadi lebih akrab sehingga kini.
Di ruang tamu itu Khalida berasa agak selesa untuk terus berbual. Sungguh pun begitu nada suara Khalida tetap rendah. Rumah yang didiaminya ini tidak sebesar mana, jadi jarak antara ruang tamu dengan bilik utama yang menempatkan Rania dan Rayyan tidur  itu tidaklah jauh mana. Beberapa ela sahaja sudah ke muka pintu bilik utama itu.
“Kenapa dengan kau?” Tanya Khalida dalam nada yang agak janggal.
Terdengar dihujung talian sana esakan Irdina. Tiada suara yang mampu di lontarkan Irdina. Khalida membisu. Berjeda menunggu jawapan dari Irdina. Teringat bait-bait ayat dari mesej yang dihantar Irdina tadi. Ayat yang menyentapkan tangkai hatinya. Melenyapkan rasa mengantuknya sebentar tadi.
‘Miinggu depan suami aku ajak ke mahkamah syariah.. dia nak ceraikan aku...’
Entah kali yang keberapa Khalida kurang ingat Irdina menyebut perkataan ‘cerai’ dalam usia perkahwinan yang baru hendak mencecah 3 tahun itu. Kadang-kadang geram juga Khalida mendengarnya. Mudah sungguh pasangan Irdina yang juga merupakan rakan satu sekolah dengan mereka dahulu menyebutnya. Tanpa alasan yang kukuh seolah-olah mengugut pula dirasakan Khalida.
“Dia nak ceraikan aku.. kali ini muktamad katanya.. dia beritahu aku .. dia tak mahu lagi memikirkan cemburu di hatinya..” Dalam suara masih teresak-esak Irdina memulakan bualnya. Khalida menduga sendiri. Dari esak Irdina itu sudah lama temannya itu menangis. Suaranya sudah menjadi garau. Menandakan tekaknya semakin kering.
Khalida hanya mendengar. Memberi peluang kepada Irdina untuk menceritakan situasi sebenar. Dalam sedu sedan yang masih berbaki Irdina meluahkan segalanya. Dari cerita Irdina yang berjela-jela itu Khalida hanya mampu menyampuk sekali sekala untuk menenangkan Irdina yang nampaknya masih terlalu emosi. Khalida merasakan tidak ada apa-apa masalah sebenarnya antara Irdina dan Hakimi. Irdina sahaja yang di lihat terlalu emosi. Mungkin juga pengaruh keadaan Irdina sekarang. Irdina masih dalam pantang. Itu yang paling Khalida tidak dapat terima jika benar Hakimi mahu menceraikan Irdina. Minggu hadapan selesai sahaja tempoh berpantang Irdina akan bergelar janda sekali lagi. Ya, sekali lagi. Sanggup kah temannya itu? Kasihan sungguh Khalida memikirkannya. Irdina yang sanggup meminta cerai dari suaminya terdahulu semata-mata untuk berkahwin dengan Hakimi. Menjadi isteri kedua Hakimi pula. Bukanlah hina untuk menjadi isteri kedua. Tetapi pilihan yang di buat Irdina itu di tentang oleh semua yang mendengarnya. Hakimi yang sudah memiliki isteri dan beranak lima menjadi pilihan Irdina. Alasan yang diberikan mudah sahaja. Hakimi adalah kekasih pertamanya. Kekasih yang hilang jejaknya setelah Irdina menolak untuk berkahwin ketika mereka tamat pengajian dahulu. Atas alasan apa Irdina menolak lamaran Hakimi, Khalida kurang pasti. Tahu-tahu sahaja mereka tidak lagi menjadi pasangan kekasih.
“Apa nak jadi dengan Hakimi ni..” komen Khalida berbasi-basi. Merasakan Irdina sendiri mengetahui yang dia kurang senang dengan Hakimi sekarang ini. Kelakuan Hakimi macam kebudak-budakkan. Sedikit sahaja tidak kena di hatinya, mahu berpisah.
“Entah lah Ida.. sudah nasib aku begini..” balas Irdina masih dalam esakan. Irdina memanggil Khalida dengan nama singkatan itu.
“Macamni lah Dina.. buat masa ni kau bertenanglah dulu. Jaga emosi kau tu. Kau masih dalam tempoh berpantang. Nanti lain pulak jadi. Hal si Hakimi tu kau tolak tepi dulu. Orang tengah panas jangan di tambah lagi panasnya tu..” pujuk Khalida untuk menenangkan hati Irdina yang sudah pasti tengah lara yang amat sangat. Dalam tempoh yang begini selalu orang tua-tua menasihatkan emosi kena di jaga dengan betul. Jika tidak bimbang ‘meroyan’. Kisah hilang pertimbangan ketika menghadapi pelbagai tekanan dalam tempoh berpantang memang selalu di dengarnya. Harap-harap Irdina tidak sampai ke tahap itu. Khalida pernah terbaca di akhbar, seorang ibu bertindak mencekik anaknya sendiri kerana mengalami tekanan semasa dalam tempoh berpantang. Malah Khalida sendiri pernah mengalami situasi sebegitu. Khalida masih ingat waktu dia keguguran buat kali ketiga bayi yang di kandungnya sudah menjangkau lima bulan. Tanpa sebab yang jelas bayi itu tiba-tiba tidak lagi bernyawa. Khalida bagai hilang arah kerana dia sememangnya sangat mengharapkan kehadiran cahaya mata ketika itu. Ibu Khalida menceritakan pada suatu petang ketika dalam tempoh berpantang itu Khalida berlari tanpa tujuan ke arah hujan panas. Itu tanda-tanda penyakit ‘meroyan’ kata ibu Khalida. Minta di jauhkan semua itu dari berlaku bisik Khalida sendirian didalam hati.
Setiap kali mendengar masalah rumahtangga Irdina dan Hakimi, serasa mahu sahaja Khalida memulangkan paku buah kerasnya kepada Irdina. Sedari awal lagi Khalida  memang tidak menyokong tindakan Irdina untuk berkahwin dengan Hakimi. Alasannya meninggalkan Rahim dahulu tidak kukuh langsung. Irdina mengatakan Rahim mandul. Sementalah sudah berlalu lima tahun perkahwinan mereka masih belum di kurniakan zuriat. Irdina memberikan alasan dia tidak mahu hidup tanpa zuriat. Dia mampu melahirkan zuriat. Rahim yang mandul. Bertemu semula dengan Hakimi di pekan kelahiran mereka memberi kekuatan dan ruang kepada Irdina untuk menamatkan ikatan perkahwinannya bersama Rahim. Irdina sudah memutuskan. Perkahwinan dengan Rahim harus di tamatkan. Malah keluarga Irdina sendiri terpaku dan kelu untuk menutur kata saat Irdina mengatakan Rahim mati pucuk. Dayus jika tidak melepaskkannya. Sudahnya Rahim rela dalam paksa melepaskan Irdina dengan talak satu.

No comments:

Post a Comment