apa cerita

Friday, 16 October 2015

Novel lagi

Selamat membaca korang semua..

Irdina pernah menceritakan kepada Khalida yang Rahim meminta Irdina memberi peluang kepadanya. Rahim mengajak untuk melakukan persenyawaan secara in vitro. Secara ringkasnya IFV. Irdina sedikit pun tidak terkesan dengan ajakan Rahim itu. Sudah terlewat, itulah pendapatnya.
Lagipun Irdina tidak mahu menyusahkan diri. Itu yang Irdina beritahu kepada Khalida. Irdina menceritakan ada seorang sahabat di sekolahnya membuat kaedah itu. Sudah tiga kali tetapi masih belum berjaya. Kaedah itu juga leceh kata Irdina. Perlu membawa ke hulu hilir suntikan yang perlu diambil. Perlu membawa di dalam bekas sejuk beku. Irdina tidak melihat itu sesuatu yang menarik perhatiannya.
“Dia langsung tak kesiankan anak yang baru lahir ni ida..” sambung Irdina. Luahan Irdina itu mematikan imbauan kenangan Khalida terhadap cerita lama Irdina.
“Hmm.. kau jangan marah aku nak cakap ni.. Dari dahulu sudah aku katakan.. Kalau dia jenis lelaki yang mengenangkan anak, dia tidak akan berkahwin lain semata-mata kerana cinta.” Luah Khalida untuk kali yang entah ke berapa. Kerap sungguh Khalida menuturkan ayat itu kepada Irdina. Khalida merasakan Hakimi bukan jenis lelaki yang memikirkan keluarga dan anak-anak. Kalau tidak masakan dia sanggup bercinta lagi dengan Irdina ketika isterinya mengandung. Hakimi berjumpa semula dengan Irdina ketika isterinya mengandungkan zuriat mereka yang ke lima. Semua itu Khalida tahu dari cerita Irdina juga. Semasa mendengar cerita tersebut Khalida merasakan Irdina juga zalim terhadap kaum sejenisnya. Irdina tidak langsung berasa bersalah bermain cinta dengan Hakimi sedangkan isteri Hakimi lebih memerlukan perhatian ketika itu.
“Tidurlah dulu Dina.. esok kita sambung cerita. Kau tengah emosi ni. Jangan ikutkan hati. Bawa bertenang.” Khalida cuba menenangkan Irdina lagi. Timbul juga perasaan kasihankan temannya itu. Marah-marah dia pada Irdina, Irdina tetap teman baiknya. Teman yang sedang mengharapkan sokongan moral darinya.
“Aku sedih Ida..” sayu sekali nada Irdina. Khalida dapat merasakan kesedihan itu sama. Irdina teman baiknya. Mustahil dia tidak terasa dengan apa yang di tanggung Irdina.
“Aku faham..” Hanya itu yang mampu Khalida tuturkan. Sahabatnya itu sedang berduka. Apa lagi yang boleh di ungkapkan selain dari itu. Hendak memujuk beria-ia rasanya masa kurang sesuai. Perbualan yang berjela-jela kelak akan mengganggu tidur isi rumah yang lain.
“Terima kasih Ida. Kau aje kawan yang aku ada untuk berkongsi suka dan duka..” Irdina bersuara lagi. Sememangnya Khalida sedia maklum Irdina bagai kera sumbang semenjak bergelar isteri kepada Hakimi. Rakan sekerja seolah-olah menjauhkan diri. Menurut Irdina hanya seorang sahaja yang bersikap tetap seperti dulu.
“Sama-sama.. itulah gunanya berkawan. Boleh berkongsi cerita.” Balas Khalida.
“Aku nak susukan anak ni.. esok aku call kau lagi ye.” Sambung Irdina lagi.
“Baiklah. Tak kisahlah bila-bila pun kau boleh call aku Dina..” Khalida bersuara seakan-akan memujuk.
Klik. Talian mati begitu sahaja. Khalida termanggu-manggu dalam suram lampu di ruang tamu rumahnya. Berkira-kira mahu menunaikan solat usai anak-anak lena tadi tertangguh dek panggilan Irdina.
Khalida terpanggil untuk mengenang kembali perbualan antara dia dan Irdina lebih kurang 3 tahun lalu.
“Apa perasaan kau menjadi isteri kedua?” Soalan Irdina itu bukan kali pertama yang perlu Khalida jawab. Ramai sungguh kenalan yang bertanya. Perasaan menjadi isteri kedua. Khalida memang tidak pernah merahsiakan perkahwinannya adalah ikatan yang berkongsi kasih dengan wanita lain. Bagi Khalida tiada guna menyembunyikan sesuatu yang bukan menjadi satu dosa. Memang ramai di luar sana yang terus memandang serong kedudukan sebagai isteri kedua. Tetapi Khalida punya pendapatnya tersendiri. Khalida punya alasan yang kukuh kenapa bersedia untuk menjadi isteri kedua yang selalu di labelkan sebagai perampas.
“Kau tak boleh samakan kedudukan aku sekarang sama dengan pilihan yang kau ada.” Jawab Khalida ketika itu. Khalida sebenarnya kurang selesa temannnya itu menjadikan keadaan dirinya sebagai penanda aras untuk melihat kebahagian menjadi isteri kedua. Dia kurang setuju Irdina mengambil keputusan sama. Keputusan untuk menjadi isteri kedua. Jauh panggang dari api kisah Irdina jika hendak di bandingkan dengan kisah Khalida yang mengambil keputusan untuk menjadi isteri kedua. Manakan tidak, Irdina telah bersuami dan masih dalam ikatan perkahwinan yang sah ketika membuat pilihan untuk menjadi isteri kedua kepada Hakimi. Irdina meminta untuk di ceraikan. Lalu mahu berkahwin lain untuk menjadi isteri kedua kepada lelaki yang mempunyai lima anak. Sedangkan Khalida berkahwin dengan lelaki yang tidak mempunyai zuriat bersama perkahwinan pertamanya. Suami Khalida, Yahya namanya. Telah berkahwin enam belas tahun tanpa di kurniakan zuriat. Yahya mempunyai seorang anak angkat lelaki. Mana boleh di samakan dengan Hakimi yang mempunyai anak lima. Zuriat sendiri dari perkahwinan pertamanya. Lagipun, Khalida bermadu dengan seorang wanita yang memang mengetahui perkahwinan kedua suaminya. Sedangkan Irdina ingin berkahwin secara rahsia.

“Apa kau rasa bila madu kau jumpa kau mula-mula dulu?” Irdina pernah bertanya begitu. Walau pun keberatan, Khalida menjawab jua.

~ Bersambung di entry berikutnya ~

No comments:

Post a Comment